" setitis tinta bisa bercerita seribu hikayat menggegar dunia"

Alasan dunia ini diciptakan adalah untuk mengungkapkan
apa yang harus diketahui.

Dia menciptakan apa yang diketahuiNya
tanpa kelahiran dan rasa sakit,
engkau tidak dapat bermalas-malas barang sekejap
sampai hakikat dirimu diketemukan pada saatnya. ~JALALUDIN AR RUMI~

Segala Puji Bagi Allah

Dah 2012!!
Jerit hati saya
Bila bangun pagi tadi

Dan ada lawak sahabat-sahabat bila malam tadi sebenarnya tidur lewat.

"Kamu berjaga malam ini lama, sampai tahun depan!" 

Azam?
Azam ya, bukan terpendam.
Jika anda ada azam yang besar, nampak macam susah nak capai, mulakan dari langkah kecil.

contohnya..


Maafkan orang!
Nampak macam senang. Katakan saja..
"ya, saya maafkan awak"

Tapi, hati?
Berat dan sakit.
Pergilah periksa hati.
Sekian.
[ Read More ]

Segala puji Bagi Allah


Untuk sekian kalinya, setelah diasak oleh seorang yang sebenarnya berniat baik, saya kongsikan juga cerpen yang..(ugh!)

Baiklah mari mengaku, selepas bercampur dengan golongan sastera tingkat tinggi, terasa diri dalam golongan marhaen saja. Jadi, nak publish karya rasa macam menguar-uarkan kelemahan.

Tapi, untuk tatapan bersama, cubalah nikmati bahasa yang 'cuba' dipuri dipujanggakan ini..
Amaran:  Cerpen ini, mungkin terselit perkataan asing bagi anda, jadi..sila merajinkan diri merujuk kamus bahasa ibunda anda ini.



Sekitar taman tasik itu tidak seperti suasana petang 3 bulan sebelumnya. Tiada usik tawa anak-anak. Pasangan-pasangan yang tersenyum bahagia berpegang tangan,tidak kelihatan. Jerit pekik ibu pada anak-anak yang buas bermain,lenyap tidak kedengaran. 


Semuanya bagai menemui titik  kematian. Malah, hawa petang itu tidak bersahabat dengan sesiapa yang menghirupnya. Pijar bahang mentari  mencengkam nodus-nodus peparu saat udara sampai di ruang dada. Habuk pada jalan aspal berterbangan bergulung-gulung, mengapung,lalu jatuh kembali. 


Sesekali angin bertiup menggugurkan daun ke atas rumput. Di bawah pohon yang perang kekeringan, kelihatan pemandangan aneh.  Seorang lelaki menekuni sebuah buku di tangannya.  Sesekali mencatit sesuatu. Tidak terkesan dengan apa pun.


Dia melontarkan pandangannya ke tasik  yang beriak malas dan tidak berupaya lagi mencetus keindahan itu. Lelaki itu menghembus nafasnya kasar. Badai kegelisahan melilit hatinya. Sudah beratus buku ditekuni. Sudah berjuta jurnal diteliti. Sudah berkali-kali ujian diuliti. Namun,dirasakan segala usahanya tidak berharapan. Harapan dilihatnya seperti bergantung-gantungan ,mengejek-ngejek,menekan kesabaran.


“Aku seperti pernah mendengar kisah yang menyerupai hari ini? Tapi dimana?” kata-kata itu terluah dari mulutnya.


Dia teringat pada hari dirinya dipecat dari kerja yang dicintainya.  Terasa diri begitu hina.  Pakaian putih separas lutut yang berjajar enam butang perlu disangkut sepi,  tidak layak digunakannya lagi.  Malah topi tinggi silender itu pun, dia bagai terlupa bagaimana untuk menggunakannya lagi. Kariernya sekelip mata punah. Bukankah dia pernah menerima anugerah dari Kerajaan Koloni, kerana menguasai bidang masakan dalam masa kurang sedekad? Namun itu sudah tiada harganya lagi.


Ada satu gelodak yang menjamah rimba rasanya selain rasa kehinaan itu. Dia merasakan terpanggil untuk mencari jalan keluar bencana yang bersifat itlak ini. Bencana yang menjejaskan kehidupan dan tabiat semulajadi sarwajagat.
“ Tidak bermaknalah aku seorang chef ternama, merangkap ilmuwan genius, namun tak berupaya menjumpai jalan keluar bencana ini, tidak bermaknalah hidup seorang tukang masak jika asap masakan tidak dapat dihidu lagi”


-Begitulah manusia sekarang.. jika tidak terkena batang hidung,  tidak ingin ambil parwah.


Tiba-tiba satu suara menyahut. Matanya melingas ke sekeliling. Kosong,tidak satu pun kelibat manusia kelihatan di sekelilingnya. Mungkin dia tersilap dengar. Dia kembali menyandar ke batang pokok.


“Ya, aku seperti tahu, tapi apa?”


-Jawapan itu ada dalam dirimu, Brahim.


Suara itu kembali lagi.


“Siapa? Siapa kau??”


-Aku adalah aku.. yang penting kau sebagai manusia harus tahu, semua ini adalah ujian..


“Mana mungkin ini ujian? Manusia tanpa makanan? Ini melangkaui tabiat manusia!”


Brahim lupa untuk menghiraukan arah suara itu.  Kenyataan Sang Suara benar-benar mencabar kesabarannya.


-Lalu..jikalau ini, kau panggil balasan? Mungkin ia lebih tepat?


“Balasan? Atas perbuatan apa? Kau menuduh aku punca masalah ini?”


-Tuduhan? Ini kebenaran! Ada pernah kau berkontemplasi, mencari makna disetiap penciptaan deria mu? Pernah kau bersyukur? Pernah kau menghargai nikmat mentari yang tak pernah kau minta, nikmat udara yang tak pernah kau fikirkan ada tiadanya..pernah..


“Sebentar, sebentar! Perlu apa semua itu?”


-Ya, perlu apa ia terus diberikan jika tidak disyukuri, tidak dihargai,baik saja ia dipulangkan..


Diam. Berjeda-jeda. Terasa berdenging-denging telinganya mendengar kata-kata itu. Panas. Seperti baru terkena hayunan tangan dari seseorang.


-Carilah makna dirimu. Mencari Tuhanmu.


“Bagaimana untuk masalah dunia ini? Aku ikhlas ingin menolong seluruh manusia, bukan hanya perutku”


-Bukankah khazanah Tuhan itu luas. Hanya satu saja nikmat yang ditarik. Malah selama ini, tak sesiapa peduli nikmat itu.


“Satu? Jadi kau fikir, dunia tanpa api panas itu hanya satu masalah? Api menjadi sejuk! Malahan, bukankah aneh bila mentari yang berbahang itu  juga tidak berupaya membakar sebarang makanan?”


Dia teringat berita di kaca televisyen sejak 3 bulan lalu, beribu-ribu mangsa bencana aneh ini, terlantar di kasur-kasur rumah sakit. Jururawat, malah para  doktor turut kewalahan, bila mereka sendiri tidak punya energi untuk merawat pesakit-pesakit tersebut. Mana mungkin sayur-sayuran dan buahan sahaja dapat memberi semua keperluan badan manusia? Sumber protein dan karbohidrat dari bentuk roti dan daging tidak dapat dinikmati. Tujuh bahagian piramid makanan itu, buntung. Hanya meninggalkan bahagian sayuran dan vitamin.


Kekurangan tenaga, menyebabkan, sistem ketahanan badan terhadap penyakit akan merundum jatuh. Malnutrisi. Lalu berlumba-lumbalah patogen dan bakteria menyerang manusia. Ini adalah bencana terbaru yang terburuk dalam sejarah peradaban dunia.  Restoran-restoran terpaksa ditutup. Kilang-kilang industri gulung tikar. Saintis-saintis buntu walau beribu penyelesaian ditakar.


Hakikatnya dia merindukan haruman masakan yang mendidih. Hidupnya seolah kosong bila tidak lagi berpeluang menghidu asap masakan yang menghidupkan nadinya. Walhal, hal sedemikian  selama ini menjadi permainannya sehari-hari.


-Darinya kita datang, kepadaNya kita kembali. 


“Maksud kau?”


-Brahim, perhatikanlah, dari mana kau datang. Brahim, kenalilah hakikat dirimu.


Suara itu berulang-ulang dan sayup-sayup hilang.


“Nanti!..tunggu aku!”


“Encik, bangun encik..”dia terasa bahunya disentuh. Dia pantas menoleh,kelopak  matanya dibuka luas. Seorang bertopi hitam berbaju seragam putih, dengan topeng perlindung muka berdiri di sisinya.


“Kau siapa?” dia bertanya. Fikirannya menenung kejadian tadi. Aku tertidurkah? Lalu mimpikah tadi?



Encik perlu tinggalkan tempat ini. Ia akan ditutup sebentar lagi” katanya sambil menunjukkan kad kuasanya.
Dia bingkas, melihat sekeliling. Matahari sudah meninggalkan cerakin cahayanya di dada langit. Tercarik-carik garis-garis merah di langit yang sudah kelabu. Pantas buku-bukunya dikutip, dan diseluk ke dalam tas coklatnya.
Dia galgal beredar dari situ. Tempat yang  melilitkan seribu tanda tanya di setiap denyut hatinya.       


                                                       **********

“Brahim, perhatikanlah, dari mana kau datang. 


Brahim, kenalilah hakikat dirimu.”

Suara itu berulang-ulang menyentak-nyentak ruang fikirannya. Siapakah empunya suara itu? Tidak pernah dia mengalami situasi itu. Tidak pernah dia berlawan kata dengan sesiapa sebegitu. Suara itu seperti bergema-gema di dalam bilik sederhana kecil yang sarat dengan rak-rak buku menyentuh lelangit rumah.

Janggal . 


Dia terasa ganjil bila namanya itu diulang-ulang. Sudah lama namanya  yang kedua itu tidak diseru. Selalunya dia dipanggil Seth. Tuan Seth. Dia jarang menyebut nama penuhnya Seth Brahim. Seingatnya yang memanggilnya Brahim hanyalah datuk. Datuk sebelah ibunya yang renta namun masih gagah ketika usianya menjangkau 100 tahun.  


Dia masih ingat, ketika datuknya menghembuskan nafasnya, dia menangis tidak tertahan sedih.
Datuk yang rajin bercerita. Datuk yang dekat dengannya ketika ibu bapanya sibuk. Datuklah yang menemaninya di rumah besar ini. Ya datuk rajin berhikayat sambil sesekali menilik kitab yang dikatakan bermukjizat itu.



 “Brahim, bacalah kitab ini, nama kau tercatat di sini”

Tiba-tiba kata-kata datuk bergema digegendang telinganya. Pesanan datuk sebelum berlalu buat selamanya.

 Kitab kuno itu?  Menyebut namanya?

Dia galgal mencari kitab kuno itu. yang berdekad lama tidak pernah diselak kembali. Benar, rasanya semua buku didalam bilik ini sudah ditekuni bagi mencari jawaban bagi masalah dunia ini. Namun tidak terlintas untuk menyelak kitab itu.



 “Brahim, bacalah kitab ini, nama kau tercatat di sini”

 “Brahim, kenalilah hakikat dirimu”

Kata-kata datuk dan suara itu bersipongang disetiap penjuru kotak fikirannya. Pengap.

Akhirnya kitab lusuh yang kuning berhabuk ditemui dihujung rak buku yang paling atas. Semerbak bau kertas lama yang hapak menjentik hidungnya saat lembaran kitab itu dibuka.

“Manusia menjadi lemah kerana tangan mereka sendiri kerana manusia mengganti hukum-hukum Tuhan menjadi hukum manusia, dan manusia tetap menolak untuk sadar terhadap tragedi besar yang mereka ciptakan untuk mereka berserta anak cucunya. dan penderitaan menjadi sebuah takdir yang disengaja. Duhai manusia, kembalilah padaNya”
                                                                                                                        Ibrahim Khalifaa

Catatan tangan datuk yang bertinta hitam dan sudah pun kembang itu dibaca di muka surat hadapan kitab itu. Tersirap darahnya memahami bait-bait kata itu. Takdir yang disengaja? Jadi benarlah kata-kata ‘suara’ itu, bahawa bencana ini datang dari dirinya sendiri?

Kitab ini telah dilupuskan dari kajian-kajian di mana-mana institusi pun. Jika adapun, ia hanyalah berada di muzium. Kitab kuno yang pernah menjadi rujukan tamadun bangsa berkurun yang lalu, dikatakan tidak lagi relevan dengan arus kemodenan masa kini. Intipatinya didakwa sebagai jumud dan banyak berunsurkan tahyul. 

 Semua sejarah yang tertera di dalamnya dianggap tahyul dan tiada bukti. Itu yang diuar-uarkan Kerajaan Koloni. Dia hanya menerima saranan itu tanpa usul periksa. Tidak siapa memperdulikan. Tidak siapa mempertikaikan.

Brahim. Ibrahim. 

Ada persamaan di situ. Mungkin dari sinilah dia mendapat jawapan hakikat dirinya?

Setiap kata di dalam kitab itu yang merujuk perkataan Ibrahim diselaknya.

Kami (Allah) berfirman, ‘Wahai api, Jadilah kamu dingin, dan penyelamat bagi Ibrahim’

Dia tersentak. Dahinya berpeluh. Dadanya berombak pantas. Ayat apakah ini? Matanya berpinar tidak ketahuan sebabnya. Segalanya menjadi gelap.



p/s: nantikan sambungannya, sila jangan bengang

[ Read More ]

SEGALA PUJI BAGI ALLAH


Untuk sekian kalinya, saya dilanda ketidak-normalan kepada tablet.
setelah melihat sekalian lukisan yang cantik dihasilkan oleh mereka.

sekarang?
saya hanya mampu berdikit-dikit melukis dengan apa yang ada.
seperti ini

LOVE will RIGHT if laid for Allah
~cinta itu benar jika kerana Allah~
Buat pertama kalinya menggunakan perisian ShiPainting secara online
(buat macam ni pun masih terkial, ada hati nak guna tablet)

Sedikit perkongsian

Isu cinta tak pernah layu dan lesu sejak tamadun dunia bermula iaitu dari Adam dan Hawa  sehingga sekarang manusia menyambung rasa tersebut. 

Saya selalu teringat kata-kata ustazah saya semasa sekolah dahulu.

"Cinta itu FITRAH tapi jika tidak dikawal ia membawa FITNAH" 

Ya, harus saja Cinta itu ada pada diri, tapi jika tidak diarahkan dalam jalan syariat, ia akan menjadi fitnah. 

(macam juga cinta pada tablet, saya sedang kawal supaya tak jadi fitnah yang saya dah terpedaya dengan dunia)

Saya suka melihat Cinta dari aspek yang lebih serius berbanding rasa yang tak ketahuan datangnya bila itu.

Cinta kepada ilmu. Memang mudah berkata, 'tuntut ilmu niat kerana Allah'.

 tapi
 bila segunung esaimen menghenyak, 
 test yang beratur tak kenal masa,
 nota dan rujukan yang harus diuliti,
 pembentangan yang berderet-deret, 
Juga tesis bagi pelajar tahun akhir yang cukup memutarkan dunia (kononnya)

Mulalah kata "Aku tak tahan!"
Di mana Allah saat itu?
Di mana cinta Allah yang diuar-uarkan satu ketika dulu?

Solusinya?
PERBAHARUI niat. kenapa harus hidup tunggang langgang? mesti ada yang tak kena di mana-mana. 

"Study bagus-bagus, nanti senang dapat kerja"
"Kena baca dan faham betul-betul ni, nanti masuk exam senang jawab, result bagus, hidup bahagia"

Berbalik kepada gambar, jika kita kembali kepada CINTA ilmu kerana kita hendak sukakan ALLAH. Jadi cinta kita itu adalah cinta yang BENAR.

" Untuk sukakan Allah saya berpesan kepada diri saya, dan semua para pembaca, bahawa Allah adalah tujuan saya. Saya belajar untuk sukakan Allah, kerana Allah suka dengan orang yang mempunyai ilmu. Saya belajar bukan untuk dapat result bagus, tapi untuk SUKAKAN Allah. Saya berusaha untuk SUKAKAN Allah, sebab Allah suka dengan orang yang berusaha, (bukan sebab nak sukakan penyelia tesis saya) kerana dengan usaha saya menzahirkan agama.Saya juga kena TAHU, usaha saya itu usaha yang betul, supaya saya yakin dengan izin Allah, usaha saya itu DISUKAI Allah, dan berkat disisiNYA."


Dapatkah 'jurus' saya? pendek kata, apa-apa yang kita buat kena fikir, Allah suka tak apa yang aku buat? 
[ Read More ]

SEGALA PUJI BAGI ALLAH.


sepatutnya




dunia saya, kamu dan kita..


penuh dengan doa yang panjang-panjang
penuh dengan dunia yang semakin kurang
penuh dengan qiamullail pada malam yang kelam
penuh dengan dendam pada sejarah yang silam

bukankah senjata doa telah hilang 
bukankah akhir dunia kian menjelang
bukankah sunnah qiamullail semakin kurang penting
bukankah darah dendam syahid menjadi terasing



LALU DIMANA SAYA??
KAMU DAN KITA?



[ Read More ]

Murid Tahun 1,2 curi masuk 26 kediaman


Membaca Tajuk berita itu saya tergamam sebentar. Apakah? Malaysiakah? Ya, berlaku di Putrajaya. 

Jika Indonesia punya filem bertajuk "Alangkah lucunya (negeri ini)", Kita Malaysia sudah boleh mengangkat realiti baru, "Alangkah sedihnya (negeri ini)"



Mengapa situasi ini saya kaitkan dengan filem arahan Deddy Mizwar? (yang berlakon menjadi ayah Ana Altafunnisa dalam KCB) Filem ini mengisahkan sekumpulan pencuri, atau pencopet atau pickpocket. Jangan terkejut jika pencuri ini terdiri dari kanak-kanak. Iya, seusia mungkin dengan anak-anak kita, adik-adik kita yang masih di sekolah rendah..Filem ini sangat menyentuh, selepas Laskar pelangi.Filem yang penuh dengan sindiran Antara kata-kata sinisnya:
"Orang berpendidikan mencuri duit dari almari-almari, dari laci-laci..

 "Pendidikan adalah alat untuk meloncat dari menjadi pencuri kepada korupsi" 

Entah kenapa ketika menonton filem ini, saya membayangkan situasi ini di Malaysia, lalu cepat-cepat saya beristighfar. Namun bila menatap akhbar bertarikh Selasa, 1 November itu. Saya tersandar. 

Jika dalam Filem ini, jelas ia mengkritik kerajaan yang korupsi, yang tidak langsung meghiraukan pendidikan rakyat. Pendidikanlah punca negara maju. Itu yang ingin disampaikan oleh filem ini. Lalu, bila anak-anak ketinggalan, lahirlah kanak-kanak berprofesi pencuri atau pencopet. 

Kita?? Kanak-kanak yang mencuri ini bersekolah, tetapi mencuri. Jadi, mengapa sebenarnya sebab mereka mencuri?? Muda, sangat muda, bahkan kenaifan seorang kanak-kanak itu terterap lagi bila akhbar itu melaporkan kanak-kanak ini ingin memulangkan CD yang 'dipinjamnya' kepada rakan yang diceroboh rumahnya. Petikan akhbar itu seperti berikut:

Kegiatan murid Tahun Satu dan Dua itu terbongkar selepas mereka dikatakan mahu memulangkan semula CD diambil dari satu kediaman kepada rakan sepermainan yang juga anak mangsa
Hasil soal siasat, kanak-kanak terbabit mengaku terbabit dalam 26 kes pecah rumah walaupun sehingga kini polis hanya menerima satu laporan berhubung kejadian

Kanak-kanak ini dengan naif dan jujurnya mengaku pula.. Saya takut untuk membayangkan, apakah yang terjadi pada neuron kanak-kanak 'cerdas' berpendidikan ini sepuluh tahun akan datang. dalam usia 7 tahun merompak 26 rumah, dalam usia 27 tahun??

Ya Allah selamatkanlah anak-anak kami dari malapetaka ini..

Jika pendidikan jiwa tidak seiring dengan pendidikan minda, maka, kemajuan yang dikejar itu sendiri yang akan 'membunuh'  pembangunan sesebuah negeri. Alangkah sedihnya negeri ini, dikatakan maju, namun jiwa semakin mundur dari kasih sayang Ilahi. dikatakan membangun namun akhlak semakin merundum. 



[ Read More ]



Saya menghadamkan buku ini kurang dari sehari. Sejurus selepas membeli dari penulisnya Nisah Haji Haron dan mendapatkan tandatangannya.

Hakikatnya saya hanya ingin menyelak sehelai dua, tapi saya telah 'dipasung' oleh buku ini untuk menghabiskannya.

Himpunan 17  cerpen penulis terpilih ini begitu mengujakan. Buku ini adalah satu pakej, satu buku 17 penulis. Sungguh, tak rugi membacanya. Sebenarnya ia menelusuri perjalanan penulis dalam menghasilkan sebuah cerpen. Ternyata, penulis adalah seorang yang sangat peka, setiap sesuatu dipandang dengan falsafah. Malah, idea untuk menulis sangat universal, boleh saja melalui pengalaman,  melalui pembacaan, pemerhatian, malah mimpi  juga mencetuskan ilham bagi penulis.Perlu diingat, menulis bukan satu perkara mudah, untuk menulis satu cerita kajian terperinci perlu dilakukan. 

Saya tertarik dengan salah satu cerpen karya Kamariah Kamaruddin yang bertajuk Tentang Hijab. Mengupas   mengenai kain yang menutup kepala bagi perempuan Muslim. Kupasan mengenai bertudung bukanlah satu pilihan. Bukanlah satu hak Peribadi dan sensitif. Ianya terang-terangan merupakan perintah Allah yang termaktub dalam kitab Nya dalam surah Al Ahzab ayat 59.

Melalui buku ini juga saya dapat maklumat mengenai kisah Hang Tuah. Rupanya Hikayat Hang Tuah itu diragukan kebenarannya. Penulis Hikayat Hang Tuah juga menjadi misteri dan kebanyakan bukti menyatakan Hang Tuah hanyalah fiksyen dan bukan individu yang benar-benar wujud. Rasa seperti ditipu saja. Pengalaman seorang penulis di Jepun juga memberi maklumat menarik untuk kita. Orang Jepun sangat benci dengan mereka yang bercakap sambil makan, dan makan sambil berdiri. Mereka menganggap perkara itu adalah perbuatan biadap. Tetapi jika anda merupakan pelancong, mereka akan melayan anda walaupun andalah pelancong biadap itu. Jangan mensisip susu sambil meminta pertolongan orang!

Selirat Derita pun Terurai menggambarkan nasib negara Palestin. Pastinya bukan sedikit kajian bagi menghasilkan cerpen ini.Sebenarnya saya juga tersentuh dengan cerpen Nyanyi Sunyi.  Kenapa? Bacalah buku ini, siapa tahu, anda bakal menjadi penulis selepas membacanya!
[ Read More ]

Segala puji bagi Allah.

Allah yang menciptakan manusia dari pelbagai kaum. Pelbagai fahaman. Sebelum datangnya Nabi s.a., kaum Arab, sangat taksub dengan blok-blok keturunan. Hal ini menyebabkan perbalahan sesama mereka. Masing- masing mendabik dada merekalah kaum terbaik.  

Namun, bila Rasulullah s.a.w datang membawa syariat yang indah. Perbezaan ini dihilangkan garis pemisahnya dengan SATU akidah. Akidah dan taqwa pengukur kemuliaan individu mahupun masyarakat.

Lalu, pada hari ini, apakah kita masih 'merasai' kesatuan akidah itu? Keindahan keSATUan umat itu? Jika akidah mudah dilelong di atas kertas-kertas, dan entengnya diubah semudah lafaz diluahkan? 

isu akidah bukan satu isu yang boleh diberi timbal balik. Bagaimana syariat menyusun akidah itu ibarat harga diri manusia, hilangnya, hilanglah nilai kemanusiaan, dan 'kelayakannya' bergelar manusia hilang, andai 'membuang' akidah yang pernah bersemadi dalam jiwa. nilai manusia tiada, jadi apa perlu hidupnya di dunia ini? Mati adalah hukuman terbaik.
manusia yang membuang akidah, tidak LAYAK hidup di muka bumi. 

sifirnya mudah.

 manusia + akidah = hidup
manusia - akidah = mati

Kasarkah? 
Hakikatnya kita sudah lama di'manjakan' dengan akta-akta palsu yang akhirnya menjerat kehidupan sendiri.

Apakah bezanya masyarakat hari ini dengan zaman nabi. Mereka punya akidah, kita juga memegang akidah yang sama. 

Tetapi, mengapa keSATUan umah itu tidak dapat dicapai?

jika dizaman jahiliyah dulu, mereka berbangga-bangga dengan nasab keturunan mereka. 
"TOK NEK AKU LAGI TERER DARI HAMPA"

KITA??
Apa yang menghalang kita dari BERSATU

Fahaman dan taksub ketua.
"TOK KETUA AKU LAGI BAGUIH DARI HAMPA!"


Lalu, bila satu HIMPUNAN  dianjurkan bagi menghalang agenda Kristianisasi kafir di negara ini, rupanya ia menJELASkan lagi situasi umat sekarang.



Betapa blok-blok 'tok-tok ketua' begitu berpengaruh menghalang MUSLIM Malaysia dari berSATU.

Sila fahamkan antara objektif perhimpunan ini.

Mengukur tahap kesatuan dan semangat kekitaan di kalangan orang Islam khasnya terhadap gerak-kerja Kristianisasi termasuk peristiwa 3 Ogos 2011.

Menzahirkan kekuatan aqidah dan keimanan masyarakat Islam sambil memberi amaran tentang bahaya yang akan menimpa negara ini seandainya isu ini terus dieksploitasi.

Menyedarkan rakyat tentang wujudnya peruntukan dalam Perlembagaan dan undang-undang negeri yang tidak mengizinkan mana-mana pihak mengganggu-gugat kesucian Islam serta tindakan mendakwahkan agama selain daripada Islam kepada orang Islam.

Jelas?


Sedikitpun, ia tidak menyentuh fahaman POLITIK.
Titik.

dan, ia juga bukan gerakan menjatuhkan kerajaan seperti himpunan di Mesir.




Isu akidah bukan isu yang ada timbal balik atau bahasa biokimia, REVERSIBLE.


"kot tak nak jadi subtrate, boleh jadi product, kut tak seronok jadi product, jadi subtrate balik"


"Kalau kau tak nak takpa. pusing balik, kalau kau tak suka, takpa, kita boleh tukar' 


Bolehkah begitu?

Mengapakah kafir yang menghancurkan kelayakan seorang MUSLIM menjadi 'manusia' itu perlu dijaga hatinya?? Ya ALLAH... apakah sudah jadi bila musuh dijadikan sahabat?

Mari kita semak semula, ayat ALLAH
"DAn orang-orang Yahudi, dan Nasrani Tidak akan RELA kepadamu (muhammad) sebelum engkau mengikuti agama mereka"

"habis, berkumpul-kumpul ni boleh selesai masalah ke?"

Saudara, saudari sekelian, mereka si kafir ini, sedang melihat dan mentertawakan kita umat islam yang bercerai-berai. Lalu,himpunan ini cuba mencari jalan yang pernah diambil oleh Rasulullah,menjadikan akidah sebagai medium KESATUAN UMMAH, dan mengenepikan perbezaan pendapat dan taksub perkauman.

Kalau hendak berhimpun yang dikatakan perkara kecil ini pun orang ISLAM tak dapat buat, bagaimana untuk menegakkan undang-undang hudud yang memerlukan fahaman yang BUKAN sedikit dari golongan MUSLIM sendiri?

Wahai saudara saudari, bebaskanlah dirimu dari belenggu 'tok-tok ketua' kamu
sedarlah, Selamatkanlah akidah mu...
akidah mu itu yang bakal dibuktikan pada Allah kelak. 
[ Read More ]

Tajuk: Surat Ungu Untuk Nuha
Pengarang: Noor Suraya
Penerbit: Jemari Seni
Muka surat: 484 muka



Sebenarnya buku ini sudah lama dibaca, Cuma untuk sekian kalinya, buku ini saya ulang baca kembali.  Entah yang ke berapa kali pun, saya tak mengiranya pula.

Tak keterlaluan jika saya mengatakan buku ini adalah buku yang menuntun perubahan ke arah menjadi muslimah yang lebih baik, jauh dari novel yang terdapat label ‘Islamik’ di kulit luarnya, novel ini tidak memerlukan sokongan itu untuk menunjukkan yang ia sebenarnya sarat dengan tuntunan rohani dan sindiran kepada gadis-gadis di luar sana.

Cerita di mana Nuha membawa diri ke desa kerana patah hati kepada Engku Faisal telah menemukannya dengan Alang, atau Muzammil Muadz Yatim, atau juga digelar ‘Alang rebus tak empuk’. Lelaki  berambut kerinting bulat seperti Boney M itu sering membuat jururawat muda itu tak keruan, mencari gaduh atau pendek katanya, mereka seperti anjing dan kucing. Namun dalam usikannya, Alang sering menyuruh Nuha menutup aurat dengan sempurna sehingga diberikan helaian tudung untuknya, termasuk kerudung ungu, warna kesukaan Alang. Namun Nuha itu sinonim dengan degil,menafikan keinginannya fitrahnya itu sendiri, lalu memilih ego daripada suruhanNya.

Episod riang ria dan gelak tawa berakhir bila Alang kehilangan deria melihatnya akibat disembur racun. Noor Suraya berjaya menambah rencah rasa pembacanya bila Nuha mula memakai tudung hanya apabila Alang tidak lagi boleh melihat!  Dari babak ini perubahan dari diri Nuha meningkat, berani mengenepikan rasa malu, untuk kembali belajar mengaji dari Mak Raja, ibu Alang. Belajar mengaji, memanglah nampak mudah, tapi itu untuk anak-anak kecil. Untuk Nuha yang berumur 20 lebih itu, sememangnya satu perkara yang bukan sedikit semangat diayak, buat sayang Alang padanya semakin bertambah.

Bagi saya, Alang itu jujur menerima kekurangan Nuha, yang berkulit gelap, sederhana, namun ‘indah’ pada matanya, malah tidak cerdik pula, bahkan tidak dipandang warak seperti Raniya, isteri Faisal yang dibayangkan bagakan puteri itu. Namun pandangan Alang itu tidak keterlaluan bila mana satu peristiwa yang buat saya terfikir, “Tidak guna cantik jika tiada empati dalam diri”. Raniya ternyata memberikan anaknya yang kudung kaki tangan kepada Nuha, dengan alasan yang tidak mahu saya hadamkan. Anaknya sendiri! Hadiah yang ditunggu-tunggu.Kasihannya! Bayi yang diberi nama Engku Muzammil oleh Nuha, sebenarnya menjelaskan perasaan Nuha pada Alang.

Akhirnya perca-perca ungu kiriman Alang yang dikembarkan dengan surat-surat itu , membuka tanda tanya saya mengapa buku ini diberi tajuk sebegini.  Kisah hati Nuha yang keras tidak mahu mengaku yang hatinya sudah lama terjatuh pada Alang ini berakhir didalam kereta api juga seperti mana ia bermula. Membaca buku ini seperti menonton filem Tamil, kerana babak kereta api yang wajib ada pada filem Tamil itu sering saja menjadi sebab musabab cerita ini berkembang.

Apa yang menarik dalam cerita ini, selain ayat-ayat santun Noor Suraya ialah sajak-sajak yang dimuatkan dalam buku ini. Dan saya juga suka memetik ilmu yang diselitkan dalam surat Alang pada Nuha, berkenaan hutang.

Oh ya? Bagaimana Alang mendapat semula penglihatannya? Itu kamu perlu baca sendiri buku ini. Ia membuka sejarah Raja Kamariah, ibu Alang itu pula.
Secara keseluruhan, sebenarnya, saya lebih suka kulit luarnya, membuatkan semangat melukis saya yang terpendam lama dahulu, terlahir semula! 



p/s : sebenarnya pada saya, membaca itu seperti makan, namun untuk mengulasnya seperti puasa, bukan setiap hari kita dikurniakan kekuatan untuk berpuasa, begitu juga menulis resensi buku.
[ Read More ]


Bergelar mahasiswa tahun akhir, bukan semudah menyebutnya sahaja.
Jika kesibukan itu boleh diukur dengan spektrofotometer,
pasti mesin tersebut kewalahan mengukur kepekatan molekul 'sibuk' tersebut.

Doakan saja semoga semua  berada di dalam kemudahanNya.
[ Read More ]


All Praise to Allah




Ramadan has ended and the Eid days have passed as well.
I pray that you had a fantastic time this Eid, celebrating
with your loved ones. Eid Mubarak!
This Ramadan was amazing, wasn't it? You still remember
all the emotion during the night prayers? The blessings of 
Ramadan are too much to count.


You were extraordinary during this past month, make sure
to hang on to it all!



Take the first step to begin a life journey like no other, insh'a Allah.
Don't let yourself go back to that ol' lifestyle you truly hated,

May Allah bless you!

p/s: Actually I'm  too busy to post something. 

[ Read More ]

Segala Puji Bagi Allah




Biar foto berbicara.


[ Read More ]




SEGALA PUJI BAGI ALLAH
BAIK..
Untuk sekian kalinya, untuk akhirnya.. 
dan untuk semua..






Dia menoleh. Fia?
“Sampai hati nak bertunang tak bagi tau aku” kata Fia, lalu duduk disebelahnya. Najwa masih bingung. Bila pula dia panggil kawan-kawannya? Bertunang? Bukankah baru sesi ‘bertanya’?

“Kau…”

“Aku dari pihak sebelah sana..aku sepupu pihak bakal pengantin lelaki” ujar Fia sambil tersenyum 
nakal.perkataan ‘bakal’ itu ditekankan oleh Fia.

“Fia, baik kau beritahu sepupu kau tu, aku tak kenal pun siapa dia-Hairi tu…baik dia tamatkan semua ni” 
entah dari mana dia dapat idea nak keluarkan kata-kata itu. bukan tadi kamu dah kuatkan hati,Najwa?

“Kau tak kenal dia? Pelik ni?”

Belum sempat Fia meneruskan kata-katanya, Papa sudah memanggil untuk keluar. Najwa sudah berpeluh. Macam mana ni?. Fia ini pula, kenapa pula beriya menarik tangannya, mendorong keluar untuk melihat gerangan ‘Hairi’ itu. Najwa menunduk memandang hujung kakinya yang bersalut stoking kuning air itu. 

Hatinya menggumam tak puas hati pada tingkah Fia. Baru tadi dia fikir, Fia itu seperti ‘pari-pari’ yang datang untuk selamatkan dia dari ‘malapetaka’ ini. Tiba-tiba pari-pari itu rupanya ‘berkomplot’ dalam rancangan ini?

“Assalamuaikum”

Erk? Macam kenal suara itu? dia memanggung kepalanya. Ha?benarkah ini?

“Saya Hairi, Faizul Hairi bin Muhammad Bakri” tenang lelaki itu bersuara. Penuh wibawa. Mana mungkin ini Faiz. Faiz langsung berubah dari bayangnya suatu ketika dahulu.. Ada kilas cahaya pada raut wajah itu. tiada kilas nakal dan sinis lagi di wajah hitam manisnya iu. Dan hatinya tiba-tiba senang dengan kopiah putih di 
kepala lelaki itu.


“Faiz??”
“Ya, saya. Moga awak masih ingat Faiz, yang selalu awak kata ‘sinis’ itu.” mata itu menjunam jatuh ke ulu 
hatinya.

Dia menunduk mengelak cahaya dari mata itu memanahnya lebih lama lagi. Mutiara jernih sudah berlopak di pelupuk matanya kini. Dia memang tak tahu pun nama penuh lelaki itu!

Dia memandang Papa kemudiannya. Papa tersenyum mengangguk. Fia menggenggam tangannya erat. Dia rasa ingin saja sujud. Terima kasih Ya Allah. Terima kasih atas nikmatMu yang tak terduga ini. Benarlah rahmat Mu itu sentiasa bersama hambaNya. Najwa sempat mengerling ke jendela. Mengerling langit. Hatinya kini secerah langit. Sebiru langit. Sebiru langit mimpinya.Moga hatinya terus begitu. Amin.

Haip!! sekejap. Ada banyak persoalan yang bermain difikirannya sekarang. Ya, persoalan dan pertanyaan selalu saja bermain difikiran manusia, mempertikai dan mencari kelogikan di balik takdir yang tertulis. MUngkin kali ini pencarian jawaban bagi persoalan ini lebih baik ditinggalkan, kerana tak semua berlaku di dunia ini terjawab asbab musababnya, kerana Tuhan bekerja dalam rahsia..





P/s: FUHHHH!! lega kerana dapat menghabiskan cerpen ini. mungkin ada prolog atau epilog,jika rajin. bagaimanapun, saya telah cuba untuk 'menormalkan' jalan cerita.supaya semua lapisan masyarakat mahupun tahapan manusia... dapat mengkhadamkannya.. Sekian.
[ Read More ]



“Bila ada masalah menghimpit, pandanglah ke langit, betapa luasnya bumi ni, tak pun sempit dengan masalah kita.”kata-kata Fia terngiang-ngiang di telinganya kini. itu kata-kata Fia ketika di kampus tiga tahun lalu
.
“Tengok juga warna langit, tetap juga biru. Kalaupun langit itu pernah akan kelabu, hitam, jingga atau ungu sekalipun, ia akan kembali menjadi biru. Kembali mewarnai laut yang seluas bumi itu, kembali menceriakan semua.”  Lagi Fia berkata begitu  pada Najwa sambil memandang ke langit. Saat ini dia merenung kembali langit. Tenang saja dirasakan. Hatinya memuji kebesaran Ilahi. Luasnya langit ini di manakah tiangnya? Subhanallah..

“Papa tak paksa Wawa.. tapi papa percaya, dia lelaki yang baik Wa..”kata-kata Papa kelmarin terdengar pula dicuping telinganya. Dia jadi terpaku di kerusi depan papa itu. layakkah dia dikhitbah. Atau bahasa mudahnya dipinang?

“Papa lihat dia tu, nampak bersungguh, dan Papa yakin, dia seorang yang beragama” papa memuji lagi.
 lelaki yang dikatakan papa sebagai “dia habark mai, sama-sama ngaji dengan hang kat Nilai”

Siapa? Ramai yang mengaji sama Wawa, sejak mengaji muqaddam dengan Tok Bah masa umur enam tahun lagi. Najwa mengusik papanya. Dalam hati sajalah. Inikan hal serius!

“Nama dia Hairi.. em,Hairi apa, papa ni lupa dah nama penuh dia”papa tersenyum bersalah.

 Hairi? Hairi mana? Dia jenuh la, mengorek memorinya.Habis semua file di-downloadnya.

 Hairi..

Hairi?

 Hai. Ri.

Allah. Dia betul-betul tak ingat kalau dia ada kawan nama Hairi. Papa ni pun, nama boleh pula lupa, tapi memuji macam dah kenal lama.

“Memang dia dah beberapa kali mai sini, masa Wa kerja” 
Eh? Siapa yang pandai-pandai suruh datang ni. Hisy. Bencilah. Macam dia ni perempuan yang  senang-senang saja terima semua lelaki yang datang.

 Najwa, Bukan senang tau lelaki nak pergi rumah anak dara orang. Lepas tu, terus jumpa ayahnya pula. Ada ciri lelaki berani tu. Hatinya mengusiknya pula.

Eh? Tapi aku tak kenai pun dia?

“Pa, Wawa tak kenai pun, sapa Hairi itu” mahu tercekik rasanya dia menyebut nama Hairi itu
.
“Tak pa.esok dia mai kita tengok, Wa kenai tak dia” Papa selamba membuat keputusan.

Ha?  Hairi mana pulak ni? Awat nak mai pulak ni? Nak mai buat apa pulak ni? apa ni Papa..!

Memang entah apa yang dah diberi pada Papa oleh lelaki nama Bery.. Ops! Hairi tu? Dia muda lagi. Tak sampai berapa tahun pun lagi dia meninggalkan zaman kampus itu. Dia belum bersedia lagi
.
“Kita takkan bersedia selagi kita tak hadapi perubahan Najwa. Papa nampak Wawa pun dah berubah banyak. Papa bangga. Dan papa rasa Wawa cukup bersedia untuk langkah seterusnya” Papa sudah masuk mood ‘pensyarah psikologinya’ itu. 
 Mungkin Papa lupa, dia bukan berada di dewan kuliah, dan sedang memegang watak Professor Dr. Fuad, pensyarah psikologi itu.. Tapi sekarang ni papa sebagai Haji fuad, ayah kepada Najwa, tau, papa?

Oh, Papa.. Wawa nak bermanja lagi dengan Papa. Namun dia terharu jadinya, bila Papa sangat yakin dan perasan dengan perubahannya.  Dia teringat masa mula-mula pulang ke rumah dengan beryudung agak labuh hadiah Fia dulu, papa kelihatan terkejut.

 Namun dia bersyukur kerana Papa tidak membantah perubahannya itu. Hari ini baru dia tahu,papa sepenuhnya menyokong tindak tanduknya. Pada mulanya, dia punya sedikit rasa tidak puas hati, kerana Papa tak pernah menegurnya saat dia memakai blouse sekerat punggung, berselendang mengikut bentuk sanggul, dan baju cerah macam warna traffic light. Mana dia tahu papa tak suka, tapi sepatah papa tak berkata apa. Sekilas kemudian, dia beristighfar, mungkin papa punya sebab untuk berbuat begitu.
Sekarang ni sudah ‘esok’ yang dikatakan papa itu. Dia jadi bingung. Hatinya sebenarnya masih tak boleh melupakan lelaki ‘itu’. yang hilang di’buang’ dirinya sendiri.

 Malam tadi pun, bukan malam pertama dia melakukan solat  istikharah. Seperti tayangan filem, imej wajah kelabu tak jelas itu, mencium tangan papa, sedang dia, duduk memerhati di padang yang luas beratap langit biru entah-dimana itu, bermain di fikirannya. Signifikannya,Papa ada di situ. Di dalam mimpinya.

 Papa satu-satunya jantung hatinya selepas Mama pergi sepuluh tahun lalu.  Mana mungkin dia menghampakan hasrat Papa? Keyakinan Papa pada lelaki itu, perlahan-lahan memujuk hatinya.

 Lalu hari ini, selepas Dhuha, meleleh juga air matanya, meyakinkan itulah jodohnya. Langit pagi yang biru persis langit di dalam mimpinya itu, menguatkan lagi hatinya. Allah, bantulah hambamu dalam menetapkan hati. Moga keputusan ini, terbimbing olehMu.

“Wawa..aku dah sampai” suara yang seperti dikenali itu mengejutkan dari lamunan. Dia menoleh. Siapakah?


p/s : sila teka 
[ Read More ]


Apakah pernah kita terfikir, tertanya-tanya, mempersoalkan takdir-takdir yang tertulis untuk kita?

 Lalu buku ini pasti pantas ‘menampar’ anda dari berandai-andai dengan kehidupan yang sudah tertulis di Luh Mahfuz.



Menatai tulisan-tulisan Tere Liye yang tak pernah tertinggal dari bercerita mengenai emosi anak-anak kecil, ternyata memerlukan persediaan untuk mengalirkan air mata.

Rehan atau Ray ingin mendapat jawapan akan soalan-soalannya berkenaan takdir hidupnya bermula dia  menginjak 14 tahun. kisah anak yatim piatu memilih hidup gelandangan dari hidup di rumah anak yatim ini,  memang tak haus dari pengalaman dan musibah yang pada fikiran kita- 'Mengapa harus sesedih itu? Mengapa mesti sekejam itu takdir padanya?’

 Namun hanya pada usia 60 tahun, dia dapat melihat hikmah, atau akibat mahupun musababnya mengapa Allah menentukan takdirnya begitu. Maha suci Allah, setiap satu itu memang mempunyai perkaitan. Dari sekecil-kecil benda.. semunya punya hikmah, dan dalam perancanganNya.

Apa yang tersentuh bagi saya ialah saat kematian Diar, sahabatnya di rumah anak yatim, yang menjawab soalan pertamanya, ‘mengapa aku perlu menghabiskan masa kanak-kanaknya di sini?’ Di rumah anak yatim yang Penjaga rumahnya berlagak suci dan alim sedangkan duit zakat selalu masuk dalam tabungannya untuk ke naik haji. Yang selalu memukulnya sehingga berbirat, dan seribu macam kutukan pada rumah anak yatim itu.

Diar yang teruk dibelasah akibat perbuatan Ray, sebelum menghembuskan nafasnya, secara tidak lansung  menggerakkan hati Penjaga rumah berniat busuk itu, supaya bertaubat. Saat kematian Diar menjemput, yang diingati ialah jasa Ray yang pada mata orang lain biasa-biasa saja. Diar yang jujur, telus dan aneh itu..telah berjaya mengubah hati manusia.  Satu konsep yang dapat dipelajari dari cebiasan plot ini. ‘walau sekecil mana kebaikan yang kita lakukan, sekali pun tidak sengaja,ketahuilah, ia punya sebab dan akibat. KEBAIKAN DAPAT MENGUBAH TAKDIR. Kecil besar perbuatan kita,langit juga yang menentukannya.

Perbuatan jahat, tidak boleh dibalas jahat. Itu konsepnya. Tetapi Ray tidak memahami itu. Tatkala lukisan Ilham dikoyakkan, dia membalas dengan kekerasan. Perbuatannya malah memporak-porandakan nasib manusia sekelilingnya. Natan malah tidak layak menjadi penyanyi, kerana suaranya rosak dibelasah pendendam, Ilham tidak pun berjaya memasuki pertandingan seni itu. Ray tidak memahami tindakan yang disangka sebagai membela ‘adik-beradiknya’ di Rumah Singgah itu, ternyata mengubah hidup mereka 180 darjah dari impian mereka. Itu yang dilihat oleh Ray. Namun siapa tahu, dengan sebab itu, Natan menjadi composer terkenal, malah Ilham menjadi pelukis berjaya sehingga lukisan rembulannya menjadi milik Ray tanpa Ray tahu siapa pelukis lukisan berharga ribuan itu.Saya suka memetik kata-kata Bang Ape yang dipegang Ray sehingga berjaya menjadi orang berjaya.


“Kalian mungkin memiliki masa lalu yang buruk, tapi kalian memiliki kepal tangan untuk mengubahnya kepal tangan bagi menentukan nasib kalian hari ini, kepal tangan yang melukis sendiri masa depan kalian”

Bagi seluruh hidup Ray, menurut perkiraannya, ada satu garis bahagia,  yang berlangsung selama 6 tahun. Iaitu saat bersama isterinya, yang tidak kurang beza nasibnya dengan Ray.  Penulis berjaya melukis, malah seperti video, menayangkan pada kita saat-saat gembira,  melihat letupan bunga api di atas atap bangunan. Saat itulah si gadis tersentuh dengan penghargaan lelaki terhadap dirinya yang dirasakan hina. Namun sekali lagi Ray menyalahkan takdir, mengapa saat bahagianya hanya terhad untuk 6 tahun sahaja? Mengapa isteri yang digelar Si gigi arnab itu mati ketika melahirkan bayinya tanpa sempat dia tahu pun nama bayinya itu? Mengapa sekejam ini takdirnya?

Dalam meniti kehidupannya saya memerhatikan, Ray pasti saja terselamat dari sesuatu musibah kerana keratan akhbar yang dibawa kemana-mana dikocek seluarnya. Akhbar yang menyingkap sejarah hidupnya. Sejarah hidupnya yang paling tidak ingin diingati, yang paling dibenci Ray. Yang menyebabkan Ray percaya, jika hari itu tidak terjadi, segala musibah ini, pasti tidak berlaku padanya.

Satu lagi latar masa tipikal novel ini , setiap musibah yang menimpa Ray pasti pada hari kemenangan, Aidil Fitri. Jika tidak keterlaluan dikatakan, lebaran pasti memberi corak baru dalam hidup Ray.

Soalan-soalan Ray ini dijawab ketika dia dalam koma. Dalam komanya dia 'dibawa' oleh ‘si wajah menyenangkan’ mengintai hikmah dibalik tulisan-tulisan takdir padanya. Jika dalam komanya Ray mendapat jawapan, saya pula ditinggalkan soalan.Siapakah dia 'si wajah menyenangkan' itu? Benarkah orang koma melihat peristiwa begini? Apakah sebenarnya yang terjadi kepada mereka yang koma? Adakah mereka sebenarnya ‘hidup’? Atau secara totalnya apakah itu KOMA? Apa yang sya fahami,secara saintifiknya, koma adalah semakna dengan misteri. Mistik.(apakah perlu koma dahulu baru tahu? Nauzubillah..)

Dan Ray juga meninggalkan persoalan, mengapakah beliau diberi ‘kelebihan’ ini? Melihat kehidupan lampaunya? Menjawab  5 persoalan tentang rahsia kehidupannya?

Kerana tabiat suka melihat bulan. Dalam prasangka buruk Ray terhadap takdir Tuhan, dia melihat bulan sebagai tanda kasih sayangNya. Dia merasakan dia dan makhluk yang menerima nikmat sinaran cahaya bulan itu, adalah tanda kasih sayang Tuhan untuknya dan seluruh alam. Lihat? Benarlah kita tak tahu, mana satu perbuatan kita yang mendapat redha Allah.


Apa yang boleh disimpulkan, kita tidak perlu menunggu sehingga koma,barulah dapat melihat hikmah disebalik takdir kehidupan kita. Apa yang perlu kita fahami, cuba mengerti dan percaya, bahawa hikmah itu selalu tersusun di sebalik setiap apa yang kita lakukan. Hanya satu-tersembunyi. Kitalah yang harus mencari. Setiap takdir yang ditentuan untuk kita, itulah yang terbaik bagi kita. apa yang kita buat sekarang ini hanya perbandingan. Siapa kita untuk meng’gredkan’ ketentuan bagi kita itu? Gagal dalam peperiksaan adalah satu musibah, kesedihan- 50 peratus.Punya kereta besar, adalah satu kebahagiaan –seratus peratus. Walhal semua ketentuan Allah bagi kita, itulah SERATUS PERATUS terbaik untuk kita..


p/s: jika kamu mahu tahu, Tere Liye, adalah penulis ‘kejam’. Watak anak-anak kecil yang ditulisnya, selalu menyedihkan. Sampai aku selalu tertanya, wajarkah sekecil itu kehidupan mereka ditulis sekejam itu, mereka, kan insan tidak berdosa? Lalu aku menjawab sendiri, memangnya dia penulis buku itu, dialah yang berhak menentukan nasib watak itu. Sepertinya aku, adalah ‘watak’ dalam ‘tulisan’ Dia. Lalu apa saja, watakku, malah Dialah yang berhak melukiskannya. Tak percaya? Bacalah HAFALAN SOLAT DELISA atau MOGA BONDA DISAYANG ALLAH!
[ Read More ]

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...