" setitis tinta bisa bercerita seribu hikayat menggegar dunia"

Alasan dunia ini diciptakan adalah untuk mengungkapkan
apa yang harus diketahui.

Dia menciptakan apa yang diketahuiNya
tanpa kelahiran dan rasa sakit,
engkau tidak dapat bermalas-malas barang sekejap
sampai hakikat dirimu diketemukan pada saatnya. ~JALALUDIN AR RUMI~



Semasa dalam perjalanan pulang dari rumah pakcik menghantar abah yang baru boleh pulang dari hospital, saya sengaja mengeluarkan diri saya dari kesedihan melihat abah yang tak banyak daya, lebih baik saya melayan buku puisi di tangan. dan dengan sendirinya kondisi di dalam tren yang aman-aman jam 8 pagi itu membuatkan saya ralit mencarit.

menaip sebenarnya, sehinga sedar-sedar, terlepas perhentian. Nasib baik boleh berhenti di lain perhentian. 

Jadi, inilah dedikasi buat warga Mesir, sekaligus luahan kegeraman saya. Ya, puisi ini sarat dengan emosi. 
RAB'AH BERDARAH

[ Read More ]

Saya sekarang berada di hospital ketika menulis catatan ini. sedang duduk di kerusi yang memang kami bawa. Menjaga abah yang terlantar.
Saya menemui rakan lama saya di sekolah dahulu. Kami berbicara mengenai cara kerja dan kondisi hospital tertua di selangor ini.

"Yang tak sakit pun boleh sakit duduk sini" komen kami sama, kerana wad 4 atau 5 katil hanya dibekalkan dengan satu kipas siling yang kalian boleh ikuti kelajuannya dengan jemari.

"Tandas jangan kata,pelik juga mereka panggil ini hospital."

"Aku rasa makmal tikus aku lagi bersih dari hospital ni" kata saya teringat makmal yang lantainya saja, dua kali mop dengan alkohol dan ditambah sekali dengan pencuci lantai dibanding dengan hospital yang hanya saya lihat disapu sahaja. Mop hanya di lantai tandas.

Saya kemudian sempat melihat dinding laman sosial lalu terjumpakan satu post yang, entah ya? Saya rasakan sayalah manusia paling tidak bersyukur sekali saat ini.

 Saya tak boleh bayangkan, ayah saya yang sedang enak-enak tidur itu tiba-tiba dijerkah oleh polis dan diarahkan keluar dari hospital. Bagaimana ayah saya yang dari 3 hari lepas jatuh itu boleh bangun sendiri dan berjalan menuruti perintah polis itu sedangkan untuk duduk pun, ayah saya perlukan bantuan. Tapi itu yang berlaku di rab'ah Mesir. Saya tak boleh bayangkan bagaimana saya yang sedang duduk di tepi tingkap ini menjadi mangsa sniper. Bagaimana sniper itu meletakkan hatinya? Berbahaya sangatkah orang seperti saya yang tidak seminit pernah memegang senjata ini kepada negara, sehingga polis 'penjaga' negara perlu menghapuskan saya? Saya yang benci dengan letupan,sekalipun mercun raya ini, nampak seperti pengganas yang bakal merobek As sisi itukah? Tapi itu yang berlaku di Mesir.

Dari tingkat 8 ini saya melihat ke bawah. Kereta-kereta bisu di jalan-jalan sekitar hospital. Pemiliknya entah sedang mengapa diwaktu dinihari ini, menjaga waris masing-masing. Tenang-tenang sahaja. Paling kurang tenang itu diusik oleh kicauan gagak yang entah terganggu lenanya dek kelawar atau entah apa.

Jauh seperti di Mesir. Saya tak berani membayangkannya sekalipun sesaat cahaya kilat, bagaimana kereta di hadapan saya ialah manusia-manusia yang menjadi kaku dek peluru sang kudeta. Lalu ketenangan itu sifar sifatnya, erangan entah marah entah kesakitan bercampur baur dengan bunyi tembakan. Percikan merah bersama sepaian segar daging membran otak, berbaur dengan pepasir saksi utama kedangkalan fikiran manusia bila dipandu oleh syaitan tak bertuhan.

 Sedang saya, masih bimbang dengan tekanan darah abah yang tidak kunjung turun, dan pendarahan 54 mm itu terus menerus menjadi bumbu mimpi malam saya. Jauh sekali untuk dibanding dengan penduduk mesir yang sedang menelek satu persatu mereka yang terbujur berbaris-baris kaku, mengintai nasib jika entah ayah atau ibu yang sedang tersenyum lesi ditemui dibalik kain putih yang hilang warna aslinya. Allah hu Allah. Hasbunallah hu wanikmal wakeel. Laila ha illa anta, subhanaka inni kuntu minaz zolimeen. Hanya itu ucap mereka bila ibu juga bayi tak bersalah longlai tak lagi tersenyum lucu buat mereka.

 Saya yang sempat memamah kebab melayan perut, sedang sahabat nabi pernah melontar daging yang belum habis dikunyah, lantaran terasa lewat untuk merasai syahid. Lalu manusia apakah saya ini? Bagaimana jika yang sedang menerima rawatan itu ayah saya, lalu dijerkah sang perawat itu dengan kata-kata manusia tak berhati "Biarkan mereka mati! Biarkan mereka mati!"
Itu yang dikatakan pada ayah kamu. Berpeluk tubuh lagikah kalian?

*Catatan ini terinspirasi dari catatan sebenar Doktor di Mesir. rujuk link di bawah
http://www.ismaweb.net/v4/2013/08/catatan-emas-oleh-doktor-pakar-bius-dari-medan-rabaah/
[ Read More ]

Segala Puji Bagi Allah

Ketika browsing di laman seni, saya terlihat seni seperti ini, dan rasa mahu menyihatkan jari jemari yang kian keras kerana selalu-selalu saja bermain dengan papan kekunci berbanding pensil dan pen.  saya pun mula menyonteng. 

Ia berjaya disiapkan selama sehari menghadap, dan sela seminggu untuk mengedit. 

dari sisi

saya sepatutnya edit sekali lagi dengan photoshop. namun terasa malasnya...
dan hasil contengan ini sebenarnya seudah lama siap, baru dipaparkan di sini. adalah dalam 3 minggu lalu. memang sebelum Dr Morsi dijatuhkan dengan kejam dan tanpa belaan Hak Asasi Manusia yang diuar-uarkan oleh pihak liberalis dan sekularis. Yalah, itu kan, angkara mereka juga. 
Kiranya saya sedang memujuk hati dengan kesedihan penolakan terhadap Morsi dengan kepingan kertas bisu ini.



from the top

[ Read More ]




"Wahai dunia, bersedihlah bersama saya, pensyarah saya sudah tiada!"




Rasanya mahu saja laungkan begitu kepada dunia. Dan menyuruh semua gelak tawa disunyikan,semua bicara dibisukan.

Tak mungkinlah begitu. Keluar dari masjid usai solat jenazah, tetaplah jalan raya sibuk seperti biasa. Sampai di rumah, gelak tawa keliling kedengaran. Sapa salam tetap juga bersambut. Dunia tidak berakhir. Pun.

Khabar kematian pensyarah saya itu diterima pada jam 6.30, sedang saya diberitahu solat jenazah bermula jam 6. Lupa yang tadi saya mahu mengisi perut, mahu baring melegakan sendi selepas kerja, saya terus bergegas ke kampus. Menggeletar. sambil mengucap throttle saya pulas. Masjid sudah ramai dengan pelajar.

Mujur, solat ditangguh selepas maghrib. Sahabat keliling kelihatan tenang. saya terubat. lama saya menekur di lantai masjid,harus apa yang saya perlu lakukan. bingung. saya pernah mendengar dr sakit. badan dr susut teruk ketika saya di tahun kedua. saya pernah terlihat lengannya yang lebam. jarum suntikan dialisis, tuntas saya membuat hipotesis tika itu. dr sukar ditemui di kampus bukan kerana mesyuarat, tapi berulang alik ke hospital. tapi bukan sesegera ini. lama saya berteleku, lama. lama kemudian mashaf saya capai. beberapa kali bacaaan saya terhenti. saya gigihkan, doktor harus mendapat hadiah akhir saya.

saya rasa kononnya lebih tenang, namun kedengaran seseorang tersedan, saya toleh, memang saya kenal. co supervisor saya muncul sedang memakai telekung. saya tak berani mampir. hidung saya sudah sesak. berterabur depan dr, saya juga yang susah. saya pandang ke hadapan. tabir hijau berterbang di tiup angin kipas.

Berderau darah saya bila melihat objek hitam di sebelah tabir. keranda!

Allah. Allah. Dr telah sampai. Arwah. kata hati saya membetulkan. pandangan terus-terusan kabur. rasa sesak yang tersimpan sejak tadi, terlepas tanpa dapat dikawal.

Saya bangun juga. Saya harus berwudhuk. meski saya sedar, air wudhuk sebelum ini masih segar. rasanya selawat, tasbih dan apa lagi saya cuba lazimkan dilidah, namun, tetap juga tidak tenang.

Dr Hasidah menyelak tabir yang memisahkan dua tempat solat. dan saya lihat, dari balik ramai, Dr terbujur. saya masih terawang, dr Amir,kah itu?
Saya tertagak. haruskah saya terus melangkah?
benarkah?
petugas hospital perlahan membuka kafan, mendedahkan muka jenazah.

sedar-sedar saya sudah berdiri dihujung kakinya. yang beku. kaku. tidak lebih seminit rasanya saya boleh menatap wajah itu. Ya. itu memang Dr. yang manis selalu tersenyum itu kini sudah pucat. wajahnya agak bengkak. Allah. bilakah kali akhir saya melihat wajah itu tersenyum. Bilakah kali akhir saya lihat giginya yang kelihatan saat kami berbalah pendapat? wajah itu yang dulu saya pernah bertegang urat tentang kelas yang bertindan. saya jadi amnesia, sempatkah saya meminta maaf dengannya sebelum keluar? saya hanya terbayang dia sedang menilai laporan tesis kami. Dr yang paling kami takuti lantaran banyak soalan luar jangkaan kami. Kini tiada lagi. benarkah?

terusan saya menyesal, mengapa saya pandai-pandai saja mahu melihat wajah dr? lihat ini, air mata ini tak mahu menerima arahan supaya berhenti.

Saya dah lama tidak melihat jenazah begitu. kali akhir saya lihat semasa umur 6 tahun. jenazah nenek saya. terpatri sehingga kini, dan kini wajah dr mengganti. sendi seakan tak mampu menampung tubuh. iqamah habis dibaca pun saya lupa mahu berdiri. otak terasa kosong.

solat maghrib saya tunaikan dengan hidung yang penuh dan mata yang pedih. Imam terasa begitu sayu bacaannya. seperti kena sahaja, janji syurga buat mereka yang layak, seperti memujuk saya. namun rakaat kedua surah yang biasa saya baca itu tiba-tiba begitu mengharukan sekaligus menakutkan. at takasur.
Sukarnya saya fokus. di sebalik tabir sana, betul-betul di hadapan saya, dr sedang terbujur kaku, sekali sekala, pandangan terjatuh juga pada keranda di balik tabir yang tak tertutup rapat. dan dada terus sesak. Maghrib terakhir dr di kampus. walaupun hanya jasadnya. tiba-tiba saya terfikir, kenapa aku memilih tempat ini untuk solat? lihat, kan sudah susah untuk khusyuk, dan hati terus terbang-terbang, sekejap ketika duduk di kuliah dulu. sekejap ketika di biliknya dulu. sekejap di makmal.   teringat ketika dr sering-sering menyebut nama saya yang selalu lupa menanda tangan kehadiran lalu saya sempat tidak puas hati bila disalah faham sebagai tidak hadir. tiba-tiba teringat nama dr yang tertulis di resume saya sebagai rujukan. saya harus menukar kepada nama siapakah nanti?Ah! tika inilah mahu teringat! solat paling mujahadah untuk saya fokus rasanya.

usai solat sunat, saya lihat pengusung dibawa ke depan. seperti susah mahu percaya dr akan disolatkan.

aneh. ketika solat. hati saya beransur tenang.

usai salam dan doa. saya rasa langit lebih cerah. dada saya lapang.


mungkin ada yang pelik. kenapa mesti sedih beriya sangat? kamu bukan student master dia seperti si anu itu? kamu bukan semakmal dan under tesis dia semasa undergrad?

Ya, tapi dia pensyarah saya. dia penyelaras kursus saya dahulu. dia yang pernah berinteraksi dengan saya. sesiapa pun. kematian sesiapa pun yang pernah dekat dengan saya, pasti sangat berjaya membuat saya sedih. ya. saya emosional untuk hal-hal seperti ini.

Malam ini malam pertama buat dr di alam sana. saya, entah bila? dan paling membuatkan hati saya mengecil dan kecut, Ramadhan bakal sampai. Sempatkah saya?


Al Fatihah buat Dr Amir Rabu.

#rasamacammahudemam#
[ Read More ]

Selama ini, saya hanya baca saja keadaan orang yang di-unfriend di alam maya. laman sosial semestinya.

Baru ini, saya punya masa lebih, dan terperasan, yang tiba-tiba ada yang meniadakan namanya dari senarai kawan saya.Saya bukan jenis yang banyak kawan pun. Saya memaknakan kawan itu adalah mereka yang pernah saya bersua muka dan bertukar senyuman dan pandangan. dan yang utama, yang saya sudi masuk ke dalam memori saya. sekurang-kurangnya begitulah.

Oh. patut.Patutlah, saya seperti jarang melihat statusnya di dinding itu. Oh. faham.


tiba-tiba saya teringat masa saya kecil dahulu. ungkapan seperti "tak nak kawan!" lalu dibalas-"tak nak kawan sudah!"

tapi saya tak mahu lah begitu. Jika saya tak berkawan dengannya di alam maya ciptaan manusia begitu, saya ada alam maya yang lebih luas empunyaNya, yang lebih mengizinkan saya terus mendengarkan doa saya buat mereka. ya! mereka. phlural.

Mungkinkah sebab kata-kata saya yang terasa pedih buat mereka? Ampun maaf saya luruskan pada mereka. Saya fikir mereka sudah pun boleh membuka minda mereka seluasnya untuk usia yang sudah tidak boleh dibilang dengan jemari tangan. sekalipun dicampur jemari kaki. Saya hanya teringat satu lagu "kalaulah ada benci, kita sandarkan pada kenangan.." Senyum.

Banyak kenangan bersama mereka. Saya sedang tersenyum pun teringatkan mereka ni..

Baiklah, saya pun cukup besar untuk tidak membesar-besarkan hal ini. Yalah, walaupun ramai yang mengatakan saya ni jiwa batu, kering,kosong dan sewaktu dengannya, tapi terselit juga perihnya ya, bila jadi pada saya.

Saya fikir ukhuwah ini tiada syarat, mungkin kita berbeza pandangan, tapi kita satu akidah. saya suka kalau kita hormat menghormati. Itu saja. Saya juga suka warna warni. Anda bagaimana?









[ Read More ]

I want to go home. thats my only word since yesterday.


okey. maaf ya kalian, janji saya dahulu mahu sepenuhnya menggunakan bahasa ibunda tergelincir jemari sebentar. malas pula mahu undur.

satu kata boleh mengadaptasi rasa sekarang adalah sifar. sifar itu bundar bukan? bulat.
dengan semua yang saya hadapi kali ini, satu saja yang saya boleh katakan. dunia ini bukan statik. dahulu semasa kecil-kecil, bunda guru kita pernah menyatakan dalam pelajaran ilmu alam, yang bumi ini bulat bukan?



pastinya ia berputar bukan? tidak hanya diam..

jadi, haruslah anda sedar, kalau sekarang anda di atas, kalau anda rasa anda berkuasa, kalau anda rasa sekarang anda punya segalanya, harta, masa dan kuasa. ketahuilah. tiada apa yang kekal di dunia. anda pasti tak selamanya menggapai awan, haruman rerumput dan lumpur menunggu bila masa bumi bergolek terus terusan.  apa yang anda beri, anda akan terima semula.


i just want to say this: .you will feel like just what  my mother felt. just wait for it.
[ Read More ]

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...